Saturday, March 20, 2010

fyi

Sumber:Harian Metro

KUALA LUMPUR: Wanita yang ghairah untuk kelihatan cantik mungkin bertukar hodoh seumur hidup kerana memakai kosmetik mengandungi kimia Hydroquinone yang boleh menyebabkan kulit muka rosak.

Kimia Hydroquinone yang biasa digunakan untuk proses mencuci gambar diadun secara meluas dalam pelbagai jenama kosmetik sebagai ejen pemutih kulit.

Bahan itu juga dikatakan boleh menyebabkan sakit sawan, kulit wajah menjadi hitam, koma, mual dan kanser kulit yang serius.

Timbalan Pengarah Kesihatan/Farmasi Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Wan Hamid Wan Ibrahim, berkata Kesatuan Negara-Negara Eropah (EU) sudah mengharamkan penggunaan bahan itu sejak dahulu lagi.

Beliau berkata, Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan Kementerian Kesihatan tidak akan mendaftarkan kosmetik yang mengandungi Hydroquinone dan produk ini diklasifikasikan sebagai produk yang tidak berdaftar.

“Bagaimanapun, wanita yang terlalu teringin untuk kelihatan cantik tidak menyedari mereka boleh menyebabkan kerosakan kulit muka.

“Memang, di peringkat awal wajah akan bertukar putih dan licin tetapi dalam tempoh jangka panjang, mereka akan mengalami mimpi ngeri,” katanya selepas operasi ‘Ops Hitam Muka’ di sekitar Jalan Masjid India, petang semalam.

Seramai 37 pegawai Penguatkuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia dari Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan, Selangor, Melaka, Terengganu dan Kelantan menyertai operasi bersepadu berkenaan yang bermula jam 2.15 petang.

Operasi besar-besaran berkenaan ditumpukan kepada tindakan merampas produk kecantikan mengandungi Hydroquinone, Tretinoin dan raksa yang berbahaya dan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) Kementerian Kesihatan Malaysia.

Beliau mendakwa terdapat ramai pengguna terutama gadis dan wanita muda yang kurang arif dan kini menjadi mangsa kosmetik.

“Mereka mungkin tidak mendapat maklumat jelas mengenai bahaya Hydroquinone hingga sanggup menghabiskan banyak wang membeli produk berkenaan.

“Hasil kajian pakar kesihatan mendapati, penggunaan Hydroquinone berbahaya kepada individu yang tinggal di kawasan iklim tropika yang sentiasa menerima pancaran matahari sepanjang tahun,” katanya.

Menurutnya, secara perlahan Hydroquinone boleh menjejaskan fungsi perlindungan kulit daripada sinaran Ultra-Violet (UV) oleh pancaran matahari berlebihan.

“Akibatnya, pengguna akan terdedah kepada kesan sinaran UV dan mendapat barah kulit,” katanya.

Wan Hamid berkata, Hydroquinone biasanya menyebabkan kulit muka menjadi kemerahan-merahan dan rasa pedih serta terbakar.

“Penggunaan kimia ini yang berterusan atau digunakan dengan banyak (kepekatan yang tinggi) boleh mengakibatkan ‘hyperpigmentasi’ iaitu jeragat hitam pada kulit muka yang sukar dihilangkan.

“Kesan ini menjadi lebih buruk pada produk yang mengandungi alkohol (spirit) yang menyebabkan kulit menjadi kering dan mengelupas atau luka teruk,” katanya.

Kajian makmal turut mendapati kimia ini tidak boleh digunakan untuk memutihkan bulu kening dan mesti dielakkan daripada terkena mata kerana ia menyebabkan selaput dan perubahan pada kornea mata.

Selain itu, penyerapan kimia berkenaan ke dalam peredaran darah di dalam kuantiti yang besar boleh menyebabkan pendengaran berdengung, menggigil, perasaan lemas, mual dan muntah-muntah, sentakan otot, sakit kepala, sawan, sukar bernafas dan koma.

Selain itu, pihaknya turut mengesan penggunaan kimia Tretinoin di dalam produk rawatan kecantikan berbentuk krim atau losyen khusus untuk merawat jerawat.

Menurutnya, kimia tretinoin mempunyai kesan sampingan seperti rasa terbakar pada kulit, gatal, kulit mengelupas dan kekeringan, jeragat hitam bertambah dan kulit menjadi sensitif kepada cahaya Ultra-violet.

“Malah, saya bimbang kesan jangka panjang produk berkenaan yang boleh mencacatkan wajah wanita,” katanya.

Menurutnya, wanita tidak perlu ghairah untuk memutihkan kulit muka dengan menggunakan produk yang tidak pasti keselamatannya.

“Pengguna dinasihatkan supaya berhenti menggunakan sesuatu produk sekiranya merasa kesan pedih atau kulit muka menjadi kemerahan selepas memakainya.

“Saya menasihati wakil pengedar produk ini menyerahkan produk yang disyaki mengandungi kimia ini kepada unit penguatkuasa farmasi di negeri masing-masing atau menghadapi tindakan ,” katanya.