Monday, May 24, 2010

fyi

Tiga produk kecantikan ada racun berjadual

Anda obses untuk cantik? Sanggup menggunakan apa saja cara asalkan wajah licin, gebu dan berseri menjadi kenyataan? Jika ya, selepas ini, mungkin anda perlu lebih berhati-hati. Tidak semua produk kosmetik di pasaran terjamin keselamatannya. Terbaru, Kementerian Kesihatan telah mengesan beberapa produk yang mengandungi racun berjadual dan merbahaya kepada kulit. Berikut petikan daripada akhbar Kosmo mengenai isu ini.

PUTRAJAYA : Kementerian Kesihatan telah membatalkan pendaftaran tiga produk kecantikan kerana dikesan mengandungi racun berjadual tretinoin dan hydroquinone.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian, Eisah A Rahman berkata, produk berkenaan ialah Zara Rejuvenation Cream keluaran Mum Bio Cos Manufacturing Sdn Bhd, Beauty Line Beautitude Multi-Purpose Cream keluaran Beauty Line Skin Care & Cosmetic Sdn Bhd, dan Pigmentation Recovery Complex keluaran Mycreme Skin Care Products.

Penggunaan tretinoin dan hydroquinone tidak dibenarkan dalam produk kosmetik kerana boleh membawa kesan sampingan kepada pengguna sekiranya digunakan tanpa nasihat doktor, katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Katanya, kedua-dua bahan itu boleh menyebabkan kemerahan kepada kulit, ketidakselesaan , kulit mengelupas, dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

Penggunaan hydroquinone juga boleh menghalang proses pigmentasi menyebabkan kulit terdedah kepada pancaran ultra ungu dan sinaran matahari berlebihan yang boleh membawa kepada kanser kulit.

Sesiapa yang mempunyai stok produk tersebut dinasihatkan agar menghentikan penjualan, pengedaran dan penggunaan produk itu serta merta kerana pemilikan produk-produk itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984, katanya.

Penghargaan dan terima kasih kepada Kosmo di atas maklumat yang diberikan.