Tahukah anda bahawa kopi bukan mampu menyegarkan anda, malah ia juga memiliki banyak khasiat untuk kecantikan kulit.
Kopi memiliki kandungan pH yang hampir sama dengan kulit kita sehingga
dapat berfungsi sebagai 'balancing astringent'. Oleh itu, ia sesuai
digunakan untuk perawatan kulit. Bahkan ramai orang di dunia sudah
memanfaatkan khasiat kopi dalam ritual rawatan kecantikan mereka sejak
dahulu lagi.
Kopi juga dikatakan berguna untuk menambah tenaga dan membuatkan orang
terjaga daripada mengantuk. Kandungan utama dalam kopi adalah kafein,
yang berfungsi sebagai perangsang susunan saraf pusat (otak), sistem
pernafasan, serta sistem pembuluh darah dan jantung.
Oleh itu, tidak hairanlah setiap kali kita minum kopi dalam jumlah yang
sederhana (1 - 3 cawan), tubuh kita terasa segar, daya berfikir lebih
cepat, tidak mudah penat dan mengantuk.
Kafein sering kali dijadikan salah satu bahan pelengkap ubat sakit
kepala. Ini kerana kafein memiliki kemampuan menyempitkan pembuluh darah
ke otak sehingga pelebaran pembuluh darah di daerah otak yang merupakan
penyebab sakit kepala berkurangan.
Malah kafein juga dikatakan dapat menyusutkan lemak. Secara psikologi,
tubuh badan yang gemuk kurang mampu membakar lemak ketika bersukan
berbanding mereka yang bertubuh normal. Hasilnya, badan akan membakar
karbohidrat sebagai sumber tenaga, sehingga kadar gula darah cepat
merosot.
Sebab itulah orang gemuk sentiasa rasa lapar berlebihan setelah bersukan
atau bersenam dan akhirnya cenderung makan lebih banyak. Dengan minum
tiga cawan kopi, tubuh mereka akan bertindak balas untuk membakar lebih
banyak lemak.
Pada masa sama, kafein membantu memecah lemak menjadi sumber tenaga
sedia guna. Perkara ini mendorong badan lebih banyak memanfaatkan lemak,
sehingga pembakaran karbohidrat menjadi lebih terbatas. Yang perlu
diperhatikan kandungan gula dalam kopi terkawal.
Dalam bidang kecantikan pula, rawatan lulur menggunakan serbuk kopi
sebelum mandi sememangnya sudah menjadi salah satu rahsia kecantikan
tradisional yang sering dilakukan. Serbuk kopi kasar digosokkan ke kulit
tubuh terlebih dahulu dan kemudian barulah mandi.
Kopi dipercayai dapat menyingkirkan sel kulit mati sehingga kulit tetap
segar dan halus. Kini, warisan tradisional itu kembali semula dan
semakin banyak diterapkan di spa-spa sebagai salah satu cara untuk
menghilangkan rasa tekanan dan untuk kecantikan kulit.