Mitos minum 8 gelas air Pakar berpendapat tiada bukti air banyak manfaat kepada tubuh
LONDON: Sekumpulan saintis menyangkal dakwaan bahawa meminum lapan gelas
air sehari adalah baik untuk kesihatan manusia sebaliknya menyifatkan
ia sebagai satu mitos.
Kumpulan saintis itu berpendapat bahawa sehingga kini tiada bukti dengan
meminum sejumlah besar air dapat memberi manfaat kepada kesihatan
seseorang dan mereka tidak mengetahui bagaimana kepercayaan itu boleh
tersebar.
Kumpulan pakar buah pinggang di Amerika Syarikat membuat kajian terhadap
dakwaan bahawa dengan meminum lapan gelas air sehari dapat membuang
toksin dalam badan, menghalang kenaikan berat badan dan meningkatkan
tona kulit.
Dr Dan Negoianu dan Dr Stanleu Goldfarb dari Bahagian Hypertensi,
Elektrolit dan Renal di Universiti Pennsylvania berkata bahawa tiada
satu kajian menunjukkan bahawa purata kesihatan manusia memerlukan untuk
meminum sejumlah air melebihi 1.5 liter setiap hari.
"Tidak jelas dari mana datangnya cadangan seumpama itu," kata mereka dalam Journal of The American Society of Nephrology.
Penyelidik mendapati beberapa bukti bahawa individu yang dalam keadaan
panas, cuaca kering dan juga atlit perlu meningkatkan jumlah air yang
diminum. Kajian juga menunjukkan bahawa meminum banyak air juga membantu
badan mengeluarkan garam dan dan urea.
Tetapi tiada kajian mendapati adanya manfaat kepada organ sekiranya pengambilan air adalah berlebihan.
Dr Negoianu dan Dr Goldfarb turut menyiasat teori bahawa meminum lebih
banyak air boleh menyebabkan kita berasa kenyang dan hilang selera
makan.
Ada pendapat mengatakan bahawa perkara ini dapat mengekalkan berat badan
sihat dan mengatasi obesiti tetapi tiada bukti terhadap dakwaan itu.