Daging kambing baik untuk kesihatan jantung

        Entah mengapa ramai kalangan kita memilih untuk menolak sajian daging kambing yang sering dipersalahkan sebagai penyebab masalah kolestrol dan darah tinggi yang kemudian membawa kepada penyakit jantung.
       
        Sedangkan pada masa kini, kambing merangkumi 63 peratus daging yang dimakan di seluruh dunia, termasuk menjadi sumber protein utama di banyak negara Arab dan Afrika Utara, selain penting di rantau Asia Tenggara, kepulauan Caribbean dan kawasan tropika yang lain.
       
        Di Barat pula, daging kambing makin mendapat publisiti meluas sebagai sumber protein yang lebih menyihatkan berbanding daging lembu, malah terdapat kajian yang menyatakan ia lebih sesuai untuk dimakan oleh penghidap masalah berkaitan jantung.
       
        Kumpulan penyelidik dari Sistem Kerjasama Pendidikan Lanjutan Alabama (Alabama Cooperative Extension System-ACES) yang terdiri daripada Universiti Alabama dan Universiti Auburn misalnya, turut mengadakan program pendidikan awam yang mempromosi daging kambing sebagai makanan yang lebih sihat.


   KOMPOSISI KHASIAT
       
        Kajian ACES berkenaan khasiat daging kambing matang berbanding lembu, kambing muda, bebiri, khinzir dan ayam mendapati bahawa daging yang dihasilkan oleh kambing adalah lebih pejal dan mengandungi komposisi khasiat yang lebih baik.
       
        Kesimpulan utama yang mereka dapati ialah kambing mengandungi paras kolestrol dan lemak tepu yang jauh lebih rendah berbanding daging lain, menjadikan ia sebagai pilihan makanan alternatif daging merah terbaik.
       
        Dengan menggunakan potongan daging seberat tiga auns atau 85 gram, didapati kambing hanya mempunyai 2.6 gram kandungan lemak berbanding lembu yang mempunyai 7.9 gram lemak, kambing muda (lamb) (8.1 gram), khinzir (8.2 gram) dan ayam (6.3 gram).
       
        Melihat dari segi kalori pula, kambing mempunyai 122 kalori (kal), berbanding lembu (179 kal), kambing muda (175 kal), khinzir (180 kal) dan ayam (162 kal).
       
        Selain itu, kandungan lemak tidak tepu kambing jauh lebih tinggi berbanding daging jenis lain, ini adalah baik untuk pemakanan manusia memandangkan lemak tak tepu membantu merendahkan risiko penyakit jantung dan strok.
       
        Kebaikan lain yang menjadikan daging kambing sebagai sumber protein ideal ialah ia mengandungi semua jenis asid amino yang diperlukan tubuh serta kandungan zat besi yang tinggi dan mampu membantu penghidap anemia.
       
        BAIK UNTUK JANTUNG
       
        Kajian klinikal oleh Universiti Harvard pula, mengesahkan bahawa lemak tepu adalah lemak tidak sihat yang meningkatkan risiko pelbagai penyakit kardiovaskular, sedangkan lemak tidak tepu bagus untuk membantu membaiki paras kolestrol, melegakan keradangan, menstabilkan rentak jantung dan banyak lagi kebaikan yang lain.
       
        Mereka turut mendapati bahawa lemak tepu menyebabkan paras kolestrol tidak baik meningkat dalam darah sedangkan lemak tidak tepu pula membantu mengurangkan keburukan itu dengan menaikkan paras kolestrol baik.
       
        Keburukan utama kolestrol tidak baik dalam darah ialah kemampuannya untuk melekat di dinding salur arteri dan menyebabkan plak yang menjadikan ruang salur darah sempit atau tersekat, yang seterusnya menyebabkan serangan jantung atau strok.
       
        Lantas penemuan itu mengukuhkan lagi keyakinan ACES bahawa daging kambing membantu mengurangkan paras kolestrol dalam darah, mengurangkan risiko atherosklerosis dan penyakit jantung menjadikannya sesuai dimasukkan ke dalam diet jantung sihat.
       
        Sebagai galakan pemakanan daging kambing, ACES turut menggaris dua peraturan asas menyediakan masakan berasaskan kambing.
       
        "Ini termasuk gunakan suhu rendah kerana suhu yang terlalu panas akan menyebabkan daging kambing cepat liat, peraturan kedua pula ialah memasak daging di dalam kelembapan seperti peraman (marinade) basah sebelum dimasak ataupun masakan berkuah seperti kari atau stew," lapor mereka.