Membesarkan payudara dengan suntikan Hyaluronic Acid


Dunia perubatan moden terutama di bidang kecantikan telah berkembang dengan pesatnya. Kalau dulu untuk membesarkan payudara seorang wanita harus menjalani pembedahan besar (major surgery) dan mengambil masa berminggu-minggu untuk sembuh, sekarang banyak prosedur yang ringkas dan tidak menyakitkan dapat dijalankan bagi mencapai tujuan itu.




http://drzubaidi.com/blog/wp-content/uploads/2012/06/hyaluronic-acid-injectable-wrinkle-filler-.jpg



Suntikan hyaluronic acid injections telah banyak digunakan secara meluas di beberapa buah negeri. Di Malaysia teknik ini dibawa masuk dan telah diamalkan secara terbuka. Suntikan ini sepatutnya dilakukan oleh doktor atau pengamal perubatan yang berdaftar, namun ada juga pengamal kecantikan di beberapa pusat kecantikan melakukannya kerana kelonggaran penguatkuasaan dan undang-undang.

Sudah tentu suntikan seperti ini harus dilakukan oleh doktor yang berpengalaman dan terlatih. Kesan sampingan dan bahaya suntikan ini banyak bergantung kepada individu yang menjadi pelanggang dan doktor yang memberikan suntikan. Jika  pelanggan bukan individu yang berisiko tinggi dan diberikan oleh doktor yang berpengalaman dan terlatih, sudah hampir pasti kebarangkalian untuk mendapat kemudharatan amat berkurangan.

Jika sebaliknya, sudah tentu ia akan mendatangkan keburukan dan kemudharatan.

Hyaluronic acid (HA) adalah bahan semula jadi yang terdapat pada lapisan kulit. Ia berfungsi sebagai    penyerap air dan menyebabkan kulit kelihatan lembap dan muda. Pada orang yang berusia, kekurangan HA pada kulit mereka ini akan menyebabkan kulit mereka menjadi berkedut dan berlendut.

Suntikan ini diberikan untuk meluruskan bahagian kulit yang berkedut pada wajah. Selain itu suntikan ini diberikan sebagai alternative bagi pembedahan membesarkan payudara. Ia sesuai bagi wanita yang bimbang dengan proses pembedahan. Ia juga tidak menyebabkan parut yang ketara.


 

Suntikan pelali (bius) diberikan pada kulit di antara otot pectoris dan tisu payudara. Kemudian HA disuntikkan di kawasan ini ke dalam payudara, dengan isipadu yang sesuai. Ini menyebabkan tisu payudara akan tertolak ke hadapan dan menyebabkan tegang dan bersaiz lebih besar.

Prosedur ini mengambil masa 30-90  min. Oleh kerana HA adalah bahan semula jadi yang terdapat pada tubuh, maka kebarangkalian untuk mendapat  alahan  adalah kecil.  Namun terdapat kesan sampingan yang kecil seperti rasa bengkak dan sakit tetapi akan perlahan-lahan hilang.