Awas! MERKURI, bahan berbahaya lain ditemui dalam 18 produk kecantikan



SINGAPURA: Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menarik balik 18 produk kosmetik yang mengandungi bahan-bahan berbahaya yang tidak diisytiharkan termasuk merkuri atau raksa yang tinggi.
Beberapa produk itu mengandungi paras raksa yang melebihi had yang ditetapkan iaitu sebanyak 27,000 kali ganda lebih tinggi. Bahan-bahan bertoksik seperti hidrokuinon dan tretinoin juga ditemui dalam sesetengah produk yang ditarik balik.
Raksa merupakan "bahan logam toksik" yang dilarang untuk digunakan bagi menghasilkan kosmetik. Ia boleh mengakibatkan ruam pada kulit, warna kulit yang pudar dan bertompok-tompok, menurut HSA. Pendedahan kepada jumlah raksa yang berlebihan bagi jangka masa panjang juga boleh menyebabkan kerosakan pada ginjal, serta sistem penghadaman dan sistem saraf.
Hidrokuinon dan tretinoin pula adalah bahan-bahan kuat yang digunakan dalam ubat-ubatan untuk merawat masalah kulit. Jika disalahgunakan, ia akan membawa perubahan kepada warna kulit dan mengakibatkan reaksi seperti ruam kulit, kemerahan, kelecuran dan pengupasan kulit.
Produk-produk itu adalah:
  • Krim malam Balleza Skincare (mengandungi raksa)
  • Krim rawatan Balleza Skincare (mengandungi hidrokuinon)
  • Krim dan toner meremajakan kulit serta krim pemutih Brilliant Skin Essentials (mengandungi hidrokuinon and tretinoin)
  • Toner pemutih Brilliant Skin Essentials (mengandungi hidrokuinon)
  • Krim Droplets of Nature (mengandungi hidrokuinon and tretinoin)
  • Toner Droplets of Nature (mengandungi hidrokuinon)
  • Krim kecantikan Goree dengan likopena (mengandungi raksa)
  • Krim harian dan malam Karisma Cosmetic (mengandungi raksa)
  • Krim rawatan Karisma Cosmetic (mengandungi hidrokuinon and tretinoin)
  • Krim dan Toner Professional Skin Care Formula by Dr Alvin (mengandungi hidrokuinon and tretinoin)
  • Krim dan Toner No 1 Skin Magical (mengandungi hidrokuinon and tretinoin)
  • Krim pemutih dan Toner Speaks G Skin Essential (mengandungi hidrokuinon and tretinoin)
Kedai-kedai sudah diarah supaya menarik balik penjualan produk-produk berkenaan yang mendakwa "mampu memperbaiki wajah kulit" dan "meratakan ton kulit". Para penjual di platform-platform online pula diarah tidak lagi mengiklankan produk-produk itu, menurut HSA.
Orang ramai dinasihati supaya berhenti menggunakan produk yang terjejas dengan serta merta dan membuangnya.
"Hati-hati ketika membeli produk kosmetik di platform online ataupun dari sumber-sumber yang tidak dikenali, meskipun disyorkan rakan atau saudara anda," menurut HSA lagi. "Anda tidak akan dapat pastikan kandungan produk dan proses penghasilannya. Pembeli dinasihati untuk mendapatkan produk-produk demikian daripada sumber-sumber yang dipercayai seperti farmasi yang berdaftar atau kedai-kedai runcit diiktiraf, serta platform e-dagang masing-masing."
HSA juga memberi amaran supaya para pembeli tidak mudah terperdaya dengan produk-produk yang menjanjikan "hasil segera atau dikatakan mempunyai manfaat yang dilebih-lebihkan ".
"Produk-produk seperti itu mengandungi ubat-ubatan yang seharusnya digunakan di bawah pantauan seorang pakar perubatan, atau mengandungi jumlah bahan toksik yang berlebihan seperti raksa yang boleh menjejas anda," tambahnya.
Pihak berkuasa juga menyatakan bahawa mereka yang membekalkan produk kesihatan terlarang boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan didenda sehingga S$100,000.
Penemuan HSA itu hasil kegiatan-kegiatan pengawasan mutu produk di mana sampel produk kesihatan yang dipasarkan di Singapura akan diuji," menurut HSA.  
- CNA/AQ/aq