Tuesday, February 25, 2014

Mitos tentang minum 8 gelas air

Mitos minum 8 gelas air Pakar berpendapat tiada bukti air banyak manfaat kepada tubuh

LONDON: Sekumpulan saintis menyangkal dakwaan bahawa meminum lapan gelas air sehari adalah baik untuk kesihatan manusia sebaliknya menyifatkan ia sebagai satu mitos.

Kumpulan saintis itu berpendapat bahawa sehingga kini tiada bukti dengan meminum sejumlah besar air dapat memberi manfaat kepada kesihatan seseorang dan mereka tidak mengetahui bagaimana kepercayaan itu boleh tersebar.
Kumpulan pakar buah pinggang di Amerika Syarikat membuat kajian terhadap dakwaan bahawa dengan meminum lapan gelas air sehari dapat membuang toksin dalam badan, menghalang kenaikan berat badan dan meningkatkan tona kulit.

Dr Dan Negoianu dan Dr Stanleu Goldfarb dari Bahagian Hypertensi, Elektrolit dan Renal di Universiti Pennsylvania berkata bahawa tiada satu kajian menunjukkan bahawa purata kesihatan manusia memerlukan untuk meminum sejumlah air melebihi 1.5 liter setiap hari.

"Tidak jelas dari mana datangnya cadangan seumpama itu," kata mereka dalam Journal of The American Society of Nephrology.

Penyelidik mendapati beberapa bukti bahawa individu yang dalam keadaan panas, cuaca kering dan juga atlit perlu meningkatkan jumlah air yang diminum. Kajian juga menunjukkan bahawa meminum banyak air juga membantu badan mengeluarkan garam dan dan urea.

Tetapi tiada kajian mendapati adanya manfaat kepada organ sekiranya pengambilan air adalah berlebihan.

Dr Negoianu dan Dr Goldfarb turut menyiasat teori bahawa meminum lebih banyak air boleh menyebabkan kita berasa kenyang dan hilang selera makan.

Ada pendapat mengatakan bahawa perkara ini dapat mengekalkan berat badan sihat dan mengatasi obesiti tetapi tiada bukti terhadap dakwaan itu.