Friday, February 28, 2014

Tips hindari selsema




Selsema merupakan jangkitan salur pernafasan atas, yang memberi kesan terhadap salur-salur hidung dan kerongkong yang disebabkan oleh virus. Kajian mendapati terdapat lebih dari 200 virus selsema. Jenis-jenis virus mungkin berbeza pada setiap musim.

Selsema boleh tersebar dengan mudah apabila seseorang itu bercakap, batuk atau bersin atau dengan sentuhan langsung. Gejala selsema sering membuat anda berasa tidak selesa.

Bagi kanak-kanak, gejala ini kebiasaannya dirawat dengan menyapu kunyit yang telah dicampurkan dengan kapur sirih pada hidung bayi. Malah lendir dari batang sireh yang telah dihancurkan ataupun lendir dari daun sireh yang diramas juga dikatakan berkesan disapu sepanjang hidung bayi.

Berbeza dengan orang dewasa, terdapat pelbagai cara yang boleh diamalkan bagi mengatasi gejala selsema.

Mulakan langkah pertama iaitu mengatasi gejala selsema dengan membasahkan ubun-ubun tidak kira sama ada pada waktu hujan mahupun panas.

Manakala sekiranya mahu mandi, pastikan anda tidak mandi lewat terutamanya pada waktu malam. rasa sejuk dingin malam hanya akan membuatkan gejala selsema yang anda alami menjadi lebih teruk. Selewat-lewatnya mandi pada waktu petang dengan menggunakan air suam.

Langkah terbaik untuk mengatasi penyakit selsema adalah dengan mengamalkan petua mencampurkan sedikit kapur sirih, dua titik minyak kayu putih di atas sehiris limau dan diperahkan airnya lalu diminum. Sekiranya anda konsisten mengamalkan petua ini sekali dalam sehari, masalah selsema tiada lagi.

Meminum susu panas dicampurkan dengan sedikit serbuk kulit kayu manis turut membantu anda mengatasi selsema. Ini kerana khasiat yang terdapat di dalam susu panas dan kulit kayu manis mampu menghangatkan badan anda dengan segera.

Sekiranya ia masih belum berkesan, kunyah sedikit kulit kayu manis juga boleh membantu mengurangkan dan mengeringkan lelehan hingus, melancarkan peraliran darah dan sekaligus dapat membantu proses penyembuhan. Namun pastikan ia di basuh terlebih dahulu sebelum dikunyah. Selamat mencuba!