Memberi manfaat kepada fizikal dan emosi setiap orang supaya boleh berfungsi dengan baik.
SENYUMAN
dan ketawa boleh menjadi penawar duka. Kebuntuan fikiran seolah-olah
hilang apabila mendengar suara anak ketawa menyambut kepulangan kita
dari tempat kerja.
Ketawa dan menangis adalah sebahagian proses semula jadi yang dianugerahkan Allah kepada kita.
Walaupun sesetengah orang menganggap tangisan itu sebagai satu kelemahan, hakikatnya ia ada fungsi penting dalam kehidupan kita.
Apabila kita ketawa atau menangis, badan mengalami perubahan fizikal dan kimia.
Ketawa
dan menangis adalah dua elemen penting yang memberi manfaat kepada
fizikal dan emosi setiap orang supaya boleh berfungsi dengan baik.
Berbanding ketawa, menangis adalah proses lebih rumit. Air mata boleh dibahagikan kepada tiga jenis iaitu:
Air mata basal (untuk melembapkan mata).
Air mata refleks (dihasilkan apabila mata mengalami keradangan seperti apabila mengupas bawang atau terkena habuk).
Air mata emosi (dihasilkan apabila badan bertindak balas terhadap perubahan emosi).
Setiap
jenis air mata ini mempunyai komposisi hormon dan bahan kimia berbeza.
Saintis mendapati air mata emosi mengandungi paras logam mangan dan
hormon prolaktin lebih tinggi.
Apabila kita menangis, dua bahan
ini diambil daripada badan dan dikeluarkan melalui air mata. Ia
membantu meredakan perasaan. Ini sebabnya kita berasa lebih tenang
selepas menangis.
Air mata emosi hanya terhasil apabila berlaku perubahan emosi.
Banyak faktor boleh mengakibatkan emosi seseorang berubah, seperti kesedihan kehilangan orang tersayang.
Apabila
emosi berubah, sistem saraf bertindak balas dengan merangsang saraf
kranial (saraf dari otak) dan menghantar isyarat kepada kelenjar air
mata lakrimal (kelenjar air mata paling besar).
Penyelidik
percaya, kelenjar ini mengeluarkan jumlah air mata mengandungi bahan
kimia dan hormon tertentu untuk menstabilkan semula perasaan seseorang
apabila menghadapi tekanan emosi.
Bagi wanita, tangisan dianggap perkara biasa tetapi bagi lelaki, ada yang menganggap ia sebagai satu tanda kelemahan.
Sebenarnya, menangis bukan perkara memalukan atau lambang kelemahan.
Individu
yang tidak menangis, terutama apabila mengalami tragedi seperti
kematian atau putus cinta, sebenarnya lebih menderita secara fizikal
kerana tidak dapat meluahkan keperitan yang dialami melalui tangisan.
Jadi
jika anda sedih, tiada salahnya untuk menangis kerana ia antara proses
semula jadi untuk mententeramkan semula perasaan dan fikiran.
Jika menangis boleh meredakan perasaan, ketawa pula dianggap sebagai ubat terbaik dalam merawat apa jua masalah.
Pendapat ini ada benarnya kerana badan secara semula jadi berehat apabila kita ketawa.
Diafragma,
abdomen, saluran pernafasan, muka, kaki dan bahagian belakang badan
secara tidak langsung ‘digerakkan’ serentak untuk bekerja.
Pergerakan ini yang dianggap senaman untuk bahagian tengah badan sebenarnya turut membakar kalori.
Saintis
mendapati, ketawa sebanyak 100 kali mempunyai manfaat sama dengan
bersenam 10 hingga 15 minit. Ketawa membantu merangsang proses
pemulihan dengan merendahkan tekanan darah dan melancarkan aliran darah.
Apabila
kita ketawa, badan menghasilkan sel-T iaitu sel darah putih dan sejenis
protein yang penting dalam sistem pertahanan badan. Ketawa juga
didapati boleh mengurangkan penghasilan hormon tekanan.
Ini
sebabnya orang yang menghidap penyakit perlu mendapatkan bantuan
kaunseling atau kumpulan sokongan untuk menguatkan semangat kerana
kesedihan hanya memburukkan keadaan penyakit mereka.
Kajian mendapati apabila kita ketawa, satu gelombang elektrik terhasil dan mengalir dalam otak.
Banyak bahagian otak, termasuk bahagian yang mengawal emosi, daya intelek dan pergerakan, saling berhubung ketika kita ketawa.
Semua ini dikatakan memberi manfaat kerana ia boleh menguatkan badan.
Ketawa bukan saja boleh meredakan tekanan, tetapi menghilangkan rasa marah.
Antara manfaat ketawa yang lain ialah:
Merendahkan tekanan darah.
Merangsang mood.
Meningkatkan daya ketahanan badan.
Memperbaiki fungsi otak.
Melindungi jantung.
Merapatkan hubungan dengan orang lain.
Melegakan perasaan.
Membuatkan kita berasa selesa.
Malah, ketawa juga boleh meningkatkan keupayaan badan melawan penyakit seperti tekanan darah tinggi, strok, artritis, ulser dan mengelakkan risiko mendapat serangan jantung.
Kajian mendapati seseorang itu berisiko diserang sakit jantung jika sentiasa dalam keadaan tertekan, resah, gelisah dan marah.
Bahkan, ada juga kajian mendapati ketawa boleh melancarkan sistem pencernaan dan penyerapan nutrien daripada makanan.
Namun
paling penting ialah ketawa boleh mengekalkan kesihatan mental. Apabila
kita berfikiran tenang dan melihat masalah daripada sudut positif, ia
juga boleh dijadikan bahan ketawa.
Ketawa pada diri sendiri juga
boleh mengubah persepsi kita terhadap masalah dihadapi. Mungkin anda
tidak sedar, ketawa sebenarnya membolehkan kita menangani masalah atau
tekanan dengan lebih baik.