Monday, March 10, 2014

5 Cara Bergaya Langsing




 Miliki darah kacukan Arab adalah suatu perkara yang baik dan juga buruk. Ya, miliki hidung mancung dan mata besar memang seronok, namun miliki pinggang yang tidak ramping bukanlah sesuatu yang hendak dibanggakan.

Bagi mereka yang memahami situasi ini, bukan senang ya, hendak kurus.

Senaman dan diet memerlukan disiplin dan mengambil masa. Anda tidak akan miliki bentuk badan persis peragawati Victoria’s Secret dalam masa lima jam, namun apa yang anda boleh lakukan adalah menyembunyikan bahagian bermasalah.

Bukan lagi suatu masalah jika tidak dilahirkan dengan bentuk badan sempurna, kerana seandainya anda bijak bergaya, anda pasti kelihatan persis seorang peragawati.

Tip 1: Pakaian Dalam Sangat Penting

Sebelum anda mula berpakaian, pakaian dalam paling penting bagi menentukan bagaimana anda kelihatan pada bahagian luar. Ramai yang bertanggapan tiada orang lain yang akan melihat pakaian dalam, namun ini adalah tanggapan yang salah kerana jika anda memakai bra yang salah saiz, menghasilkan garisan pakaian yang tidak licin. Sama juga bagi seluar dalam.

Pakaian membentuk badan juga pilihan yang baik untuk menghasilkan gambaran badan kurus serta merta. Namun saya nasihat anda  menyimpan pakaian ini untuk acara penting dimana anda akan memakai dres sutera yang melekap di tubuh, kerana pakaian pembentuk badan sukar ditanggal.

Tip 2: Pakai Warna Gelap

Ini adalah prinsip utama ketika berpakaian untuk kelihatan lebih kurus. Warna gelap seperti hitam, biru gelap dan maroon mampu member ilusi badan yang lebih kurus.

Berpakaian dalam warna monokrom dari hujung kaki hingga hujung kepala seperti dres atau top dan seluar hitam dipadankan dengan kasut hitam. Malah, pakaian tersebut merupakan pakaian kesukaan saya. Namun, 85% pakaian dalam almari saya berwarna hitam. Bukanlah sesuatu yang tidak baik kerana hitam merupakan warna yang klasik dan anggun.Jika anda seorang yang gemar warna terang, usah bimbang kerana anda masih boleh bermain dengan aksesori berwarna seperti anting-anting.

Tip 3: Elakkan ‘ Muffin’ Top

Bukan mudah mendapatkan perut leper seperti Jessica Alba. Namun apa yang boleh dilakukan adalah memberikan gambaran perut leper.

Nasihat saya mudah sahaja. Elakkan pakaian singkat yang menampakkan perut serta seluar berpotongan rendah. Pilih top yang labuh serta berpotongan ‘empire’ untuk menyorok perut buncit.

Lagi satu, elakkan memakai belt besar, kerana ini akan menarik perhatian kearah perut.

Tip 4: Panjangkan kaki anda

Jika anda miliki masalah ketinggian seperti saya, cubalah memakai sepatu bertumit tinggi. Seangainya anda rasakan sukar berjalan dengan sepatu bertumit tinggi (dan jika anda takut akan jatuh), cubalah kasut “wedge”.

Memakai sepatu bertumit tinggi warna kulit akan menampakkan kaki lebih panjang. Percayalah, saya miliki sekurangnya tiga pasang sepatu tumit tinggi berwarna kulit.

Satu lagi nasihat adalah untuk elakkan kasut  paras buku lali. Jika anda bertegas ingin memakai but paras buku lali, pastikan memilih kasut but rona kulit ataupun padankan kasut but hitam dengan stokin hitam.

Tip 5: Kurus dengan Aksesori

Aksesori tertentu mampu menjayakan atau memburukkan gaya anda. Memakai rantai panjang boleh memanjangkan tubuh badan anda serta membawa perhatian kearah wajah anda yang cantik jelita itu.  Pilihlah rantai ‘pendant’ panjang berbanding rantai ‘choker’.

Tetapi ingat, jika memakai rantai panjang, jangan lakukan kesalahan fesyen dengan memadankan rantai bersama anting-anting.