Coklat kurangkan risiko strok


 Coklat mengandungi flavonoid yang bertindak sebagai antioksida.


SUAMI, bapa, abang atau adik lelaki anda penggemar coklat? Jangan risau, coklat memberikan manfaat buat lelaki yang 'mencintainya'.

Kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik di Sweden menunjukkan lelaki yang kerap makan coklat kurang risiko diserang strok.

Hasil kajian itu telah diterbitkan dalam satu jurnal neurologi, yang mana ia membabitkan kajian lebih sedekad terhadap lebih 37,000 lelaki yang gemar makan coklat.

Sukatan coklat yang dimakan lelaki terbabit dalam kajian itu adalah bersamaan dengan satu pertiga cawan yang dipenuhi dengan cip coklat.

Dengan pengambilan kerap padaan sukatan sebanyak itu telah mengurangkan 17 peratus risiko diserang strok berbanding lelaki yang langsung tidak makan coklat.

Ini bukanlah kajian pertama yang menyatakan manfaat coklat pada kesihatan kardiovaskular manusia.

Sebelum ini banyak kajian lain menunjukkan penggemar coklat mempunyai risiko rendah mendapat penyakit berkaitan sistem tersebut seperti penyakit jantung, strok dan tekanan darah tinggi.

"Apa yang mengurangkan risiko penggemar coklat ini kepada penyakit strok adalah kandungan flavonoid yang terdapat di dalamnya," kata Susanna Larsson, penyelidik dari Institut Karolinska di Stockholm yang juga ketua kepada penyelidikan terbabit.

Larsson turut melakukan kajian yang sama terhadap golongan wanita tahun lalu dan turut menemukan hasil yang sama.

Menurut kajian tersebut, flavonoid adalah satu kompaun yang bertindak sebagai antioksida.

Ia mempunyai kesan yang amat baik terhadap tekanan darah, kolesterol dan fungsi saluran darah.

Dalam kajian tersebut, lelaki Sweden berusia lingkungan 49 hingga 75 tahun dilaporkan makan seperti biasa dan juga makan coklat sebagai makanan sampingan mereka.

Selepas 10 tahun tempoh pemantauan, hanya 1,995 daripada jumlah keseluruhan lelaki yang terbabit dalam kajian tersebut mengalami serangan strok buat pertama kali.

Kumpulan penyelidik Larsson itu juga menyenaraikan faktor-faktor lain yang terlibat dalam kajian mereka seperti berat badan, cara pemakanan dan sama ada mereka mempunyai tekanan darah tinggi atau sebaliknya.

"Walaupun faktor yang dinyatakan di atas telah diambil kira tetapi lelaki yang makan banyak coklat mendapat pengurangan risiko sebanyak 17 peratus diserang strok," jelasnya.

Sementara itu, seorang penyelidik, Richard Libman, yang juga Naib Pengerusi Jabatan Neurologi di Institut Cushing Neuroscience Manhasset, New York, Amerika Syarikat berkata, flavanoid bukan saja terdapat dalam coklat malah makanan lain seperti epal, brokoli, soya, teh dan kekacang.

"Begitupun dengan fakta yang didapati di atas bukan bermakna orang ramai boleh makan coklat sesuka hati.

"Fikirkan juga kesan negatif akibat pengambilan coklat tersebut seperti obesiti dan diabetes jenis 2," tegasnya.